fbpx

Mahu cari duit sampingan, duit simpanan pula lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Hasrat seorang pelajar universiti untuk mencari duit poket melalui kerja sampingan bukan sahaja tidak kesampaian, sebaliknya dia pula mengalami kerugian RM10,600 apabila ditipu sindiket penipuan ejen pekerjaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, dalam kejadian di Bera kelmarin, mangsa yang berusia 23 tahun tertarik dengan iklan tawaran kerja sampingan di laman sosial Facebook.

“Mangsa kemudian menghubungi ejen berkenaan yang meminta mangsa membuka akaun E-Job dan membuat pembayaran untuk tujuan meningkatkan harga jualan barang yang akan dijual.

“Mangsa telah membuat lima kali transaksi pemindahan wang berjumlah RM10,600 ke satu akaun yang diberikan ejen berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa sekali lagi diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM10,000 menyebabkannya berasa curiga dan tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya mangsa dengan tawaran kerja yang tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian yang banyak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI