IPOH – Seramai 11 kaki judi termasuk seorang wanita diberkas ketika leka bermain judi jenis poker menggunakan cip dan daun terup dalam dua serbuan berasingan di Halaman Menglembu Bestari di sini, semalam.
Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 36 tahun itu diberkas dalam Op Dadu oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira pukul 5.45 hingga 6.15 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah dua tingkat, empat lelaki dan seorang wanita ditahan.
Katanya, turut dirampas lapan helai kertas perjudian poker, 439 biji cip pelbagai nilai, 52 keping daun terup, dua set peralatan poker, sebuah meja poker dan wang tunai RM1,745.
“Siasatan mendapati, rumah tersebut disewa seorang daripada suspek sejak dua bulan lalu daripada rakannya yang kini berada di Singapura.
“Kegiatan judi itu yang menawarkan keuntungan mudah dan rendah risiko turut diiklankan melalui media sosial,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.
Dalam serbuan kedua di lokasi berhampiran pula polis menahan enam lelaki yang sedang bermain daun terup di halaman sebuah rumah serta merampas 52 keping daun terup dan wang tunai RM769.
Menurut A. Asmadi, kesemua lelaki yang ditahan itu juga mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
“Kita mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada setiap individu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan manakala kompaun RM25,000 pula kepada pemilik premis,” ujarnya. -K! ONLINE