AUSTIN, TEXAS – Seorang wanita dari Texas menjadi sensasi internet kerana keberaniannya mengendalikan kawanan lebah tanpa memakai sut perlindungan diri atau sarung tangan, lapor portal MailOnline hari ini.
Satu rakaman video dalam aplikasi TikTok menunjukkan wanita tersebut, Erika Thompson mengaut sejumlah lebah dengan tangannya.
Dia yang merupakan seorang pengendali lebah profesional dilihat mengalihkan lebah-lebah tersebut dari bahagian atas sekaki payung ke sebuah kotak yang dijadikan sarang serangga itu.
Tanpa rasa kekok atau takut, wanita itu mengalihkan lebah-lebah tersebut dengan ‘bantuan’ seekor ratu lebah yang disimpan di dalam poket bajunya.
“Apabila lebah berada dalam kawanan seperti ini, itu bermaksud ia sedang mencari habitat baharu.
“Ia berada dalam keadaan jinak kerana tidak mempunyai sarang, makanan, ratu atau anak lebah untuk dilindungi,” ujarnya dalam video tersebut.
Tambah Thompson, disebabkan kawanan lebah yang dialihnya tidak mempunyai ratu, dia meletakkan ratu lebah itu ke dalam kotak untuk dilindungi oleh serangga-serangga tersebut.
“Sebaik sahaja saya meletakkan ratu bersama kawanan lebah tersebut, ia mengerumuni ratu itu dan mula memberikan isyarat kepada lebah-lebah lain untuk berpindah dari payung ke dalam kotak sarang.
“Setelah kesemua lebah masuk ke dalam sarang, saya mengalihkan kotak sarang tersebut ke Sungai Colorado agar ia berada jauh dari manusia,” katanya dalam video tersebut.
Video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @texasbeeworks itu setakat ini menerima lebih 18.5 juta tontonan dengan ramai pengguna meluahkan rasa kagum, namun ada juga netizen mengkritik perbuatannya yang dianggap berbahaya.
“Apa yang dia lakukan? Membuka sarang dengan rambut terurai, memakai baju berwarna gelap dan mendedahkan kulitnya. Ia amat berbahaya,” tulis seorang pengguna, @LAHoneyBeeRescue.
Bagaimanapun, banyak juga komen yang memuji keberanian Thompson dengan menggelarnya sebagai berani, hebat, menakjubkan dan ‘bagaikan puteri Disney’. – AGENSI