BAGAN SERAI – Keadaan di hospital seluruh negara terkawal walaupun penggunaan katilnya berada pada tahap sesak dan padat akibat Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sedang menggandakan usaha bagi meningkatkan kualiti rawatan terhadap pesakit Covid-19 termasuklah menambah bilangan katil di semua pusat rawatan sedia ada.
“Tahap kita ketika ini memang sangat mendesak kerana bilangan pesakit bertambah, justeru kementerian sentiasa mengemas kini keperluan hospital-hospital khususnya bilangan katil tambahan yang diperlukan.
“Namun, situasinya tidaklah sampai meletakkan pesakit di tepi jalan, kaki lima, tidak mungkin kerana kita masih mempunyai kemampuan dari segi logistik,” ujarnya pada sidang akhbar semalam.
Beliau ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kedua, Dewan Datuk Zainal Abidin Zin, Kerian di sini.
Beliau berkata, pihak kementerian sentiasa meletakkan perkara itu sebagai keutamaan dalam perang melawan Covid-19 khususnya keperluan rawatan di hospital setiap negeri.
“Selain katil peralatan lain yang penting ialah alat bantuan pernafasan bagi merawat kes jangkitan serius.
“Pada masa sama, rawatan bagi pesakit yang bukan dijangkiti Covid-19 tetap diberi perhatian cuma bagi kes-kes Covid-19 ia lebih spesifik,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai pemberian vaksin kepada ibu mengandung, beliau berkata, golongan itu akan diberikan vaksin jenis Pfizer.
Kata beliau, bagi melancarkan urusan mendapatkan suntikan vaksin, orang ramai disaran mengemas kini status mereka menerusi aplikasi MySejahtera.-K! ONLINE