fbpx

Sedan eksekutif BMW 5 Series

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENTERA sedan eksekutif premium BMW ini pasti menjadi dambaan ramai.

BMW Malaysia terus mengorak langkah dengan memperkenalkan BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport iaitu sedan eksekutif premium pemasangan tempatan bagi pasaran Malaysia baru-baru ini.

Bagi BMW 530e M Sport, ia boleh dimiliki orang ramai pada harga RM340,800 dan BMW 530i M Sport pula pada harga RM395,800.

BMW 5 Series tersebut hadir dalam varian hibrid plug-in iaitu model BMW 530e M Sport dan varian petrol iaitu model BMW 530i M Sport.

Lengkap dengan pakej M Aerodynamics, kedua-dua model ini membawakan gril kidney yang lebih besar daripada kebiasaan dan lampu hadapan langsing dengan sentuhan baharu pada rekaan lampu nyalaan siang.

BMW 530e M Sport baharu juga didatangkan dengan lampu hadapan adaptive LED (diod pemancar cahaya) di samping lampu hadapan LED yang standard, manakala BMW 530i M Sport dilengkapi dengan BMW Laserlight.

Kedua-duanya dilengkapi kemudahan bantuan lampu puncak dengan fungsi pengaktifan automatik mengikut keadaan trafik yang mana ia dikawal melalui sensor.

REKAAN hadapan gril kidney yang bersaiz besar menjadikan jentera ini tampak garang.

Jentera berkenaan juga memiliki rupa yang garang apabila BMW Individual Shadow Line berglos tinggi menjadi wajah bagi BMW 530e M Sport, manakala BMW 530i M Sport dipadankan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium Satinated.

Bampar hadapan dan belakang kedua-duanya juga direka dengan salur masuk udara yang lebih besar berserta elemen lampu belakang LED dalam bentuk L.

Buat julung kali juga, sumber cahaya luar diintegrasikan secara langsung ke dalam lapisan lampu belakang yang paling luar, lantas memaksimumkan lagi efek tiga dimensi (3D).

Dinamisme yang tulen turut terpancar melalui rim aloi ringan M bersaiz 19 inci dwiwarna pada jentera ini.

Dua model ini turut menampilkan suspensi adaptive serta brek M Sport dengan angkup brek M Sport berwarna biru.

Di bahagian belakang kedua-dua varian itu pula, paip ekzos dwisisinya direka berbentuk trapezium dengan sisipan peresap yang unik.

Dua varian berkenaan juga dilengkapi enjin petrol sebaris empat silinder BMW TwinPower Turbo 2 liter dengan BMW 530e M Sport turut dipadankan dengan motor elektrik BMW eDrive generasi terkini.

Sistem transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan juga ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua model atau varian ini.

Dari segi kuasa dan kelajuan, BMW 530e M Sport menawarkan gabungan output maksimum berjumlah 292hp dan tork 420Nm.

REKAAN belakang BMW 530i M Sport dilengkapi ciri BMW Laserlight.

Varian berelektrik itu mampu membuat pecutan dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.9 saat dengan kelajuan tertinggi mencecah 235km/j.

Motor elektriknya mempunyai jarak capaian sejauh 67 kilometer sekali gus memungkinkan keupayaan untuk memandu di dalam kota atau perjalanan yang pendek dengan pemanduan elektrik sepenuhnya.

Motor elektrik tersebut boleh dicas hingga penuh melalui BMW i Wallbox dalam tempoh sekitar 3 jam 35 minit, atau bawah enam jam jika menggunakan soket konvensional dengan kabel pengecasan standard.

Mod pemanduan dalam varian berelektrik itu boleh ditetapkan melalui butang eDrive yang disediakan di konsol tengah dengan tetapan standard AUTO eDRIVE membekalkan kelajuan pemanduan elektrik sehingga 110 km/j.

Dengan menukar kepada mod MAX eDRIVE, kelajuan pemanduan elektrik boleh ditingkatkan sehingga mencecah 140 km/j.

Sementara itu, output sistem keseluruhan bagi BMW 530i M Sport ialah 252hp dan tork 350Nm yang membolehkan jentera ini memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.4 saat. Kelajuan tertingginya ialah 250 km/j.

Melengkapkan kedua-dua jentera ialah teknologi keselamatan kawalan stabiliti dinamik, kawalan cengkaman dinamik, kawalan brek membelok, kawalan brek dinamik dan sistem pembrekan antikunci dengan bantuan brek.

Ciri bantuan pemanduan yang disediakan bagi jentera-jentera ini juga antaranya amaran keluar dan penukaran laluan, amaran perlanggaran hadapan, pencegahan perlanggaran belakang dan amaran rentas trafik.

Fungsi Parking Assistant Plus pula menyediakan kamera pandangan keliling untuk kedua-dua varian.

Bagi BMW 530e M Sport, ciri keselamatan yang unik turut ditawarkan apabila bunyi khas dikeluarkan menerusi sistem pembesar suara kereta untuk menyedarkan para pejalan kaki dan penunggang basikal sekiranya ada di hadapan memandangkan pemanduan kereta menggunakan elektrik agak senyap.

Ciri menarik ini diaktifkan apabila kenderaan dipacu secara elektrik sepenuhnya pada kelajuan minimum 30km/j.

Di bahagian dalam pula, BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport menampilkan reka bentuk elegan dan menawan.

REKAAN dalaman pada bahagian papan pemuka kedua-dua model kereta ini elegan dengan paparan 12.3 inci.

Kedua-duanya dilengkapi dengan stereng kulit M serta kerusi sport yang menawan. Varian-varian itu dihiasi dengan kemasan trim Aluminium Rhombicle, termasuk upholsteri kulit Dakota dan material antrasit bumbung.

Turut didatangkan pada model BMW 530i M Sport adalah bumbung kaca panoramik.

Kedua-dua jentera ini turut dilengkapi dengan keupayaan serba pintar BMW Live Cockpit Professional dengan memanfaatkan Sistem Operasi BMW 7 terkini.

Ia turut dipadankan dengan paparan kluster instrumen 12.3 inci yang boleh dikonfigurasi dengan kawalan dapat dilakukan secara skrin sentuh.

BMW Live Cockpit Professional hadir dengan ciri navigasi, BMW Intelligent Personal Assistant, sambungan 4G LTE, dua port USB dan fungsi-fungsi lain seperti pengemaskinian perisian berjarak jauh serta pengemaskinian peta wayarles bagi sistem navigasi.

Ciri-ciri kefungsian kenderaan yang boleh diakses melalui BMW Intelligent Personal Assistant itu meliputi panggilan telefon, pelarasan suhu, navigasi, pengaktifan bidai serta pengoperasian kesemua tingkap secara automatik.

Papan pemuka menampilkan sulaman berkontras dalam warna halus yang bersambung dengan trim pintu, termasuk set butang kawalan di konsol tengah dalam warna hitam berglos tinggi.

Elemen ini menyerlahkan lagi rekaan dalaman bagi kedua-dua model BMW 5 Series baharu itu.

Pun begitu, eksklusif bagi BMW 530i M Sport yang harganya lebih tinggi ialah ciri BMW Gesture Control, papar pandu (head-up display), kunci paparan BMW (BMW display key) dan sistem bunyi keliling Harman Kardon.

Pemilik BMW 530i M Sport juga dapat memanfaatkan ciri kawalan luncur aktif.

Kedua-dua varian ditawarkan dalam warna Alpine White (putih) atau Carbon Black (hitam) yang dipadankan dengan upholsteri Black Leather Dakota (hitam) atau Cognac Leather Dakota selain dalam warna Phytonic Blue (biru), Sophisto Grey (kelabu) atau Bluestone yang dipadankan dengan upholsteri Black Leather Dakota.

Di samping itu, kedua-dua varian BMW 5 Series baharu juga boleh dipadankan bersama BMW M Performance Parts dengan tambahan harga RM17,410.29.

Tambahan eksklusif untuk BMW 530i M Sport baharu ialah Shadow Line Package yang berharga RM5,437.12.

Para pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk memiliki sedan eksekutif premium baharu itu dengan bayaran RM1,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ mulai 29 Mei 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI