fbpx

Penduduk terkejut temui karung sisa buangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaidin menunjukkan sisa buangan yang karungnya hampir mereput ditemui penduduk di dalam ladang kelapa sawit bersempadanan Kampung Pasir Besar dengan Felda Pasir Besar. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Penduduk di Kampung Pasir Besar, di sini, dikejutkan dengan penemuan lebih 10 karung bersaiz besar berisi bahan buangan yang hampir mereput di dalam ladang kelapa sawit bersempadanan kampung berkenaan dengan Felda Pasir Besar.

Seorang penduduk, Zaidin Zainal Abiden, 50, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang penduduk lain yang mencari punca perubahan warna air kolam miliknya yang terletak di kawasan berdekatan lokasi pembuangan sisa dipercayai merupakan sisa sawit pada Rabu lalu.

Menurutnya, dia segera ke lokasi tersebut bagi melihat sendiri aduan berkenaan dan mengetengahkan aduan tersebut kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.

“Kalau lihat dari keadaan karung ini mungkin sudah hampir sebulan juga bahan ini dibuang di lokasi ini. Sebagai penduduk kita tak pasti sama ada bahan ini berbahaya atau tidak, namun, sekiranya hujan lebat, air dari bahan ini mengalir masuk ke dalam anak air Busung.

“Kemudian, air ini pula mengalir masuk ke dalam Sungai Muar kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi ini dan air sungai ini merupakan sumber air buat penduduk,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Besar, di sini tadi.

Zaidin berkata, perkara seumpama itu baru pertama kali berlaku dan dia berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera memandangkan sisa berkenaan juga mengeluarkan bau.

“Malah, jika berbahaya kita harap ia akan dilupuskan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Azuri Azizah Saedon berkata, siasatan di lapangan telah dijalankan semalam dan sampel telah diambil untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awalan menunjukkan ianya bukan buangan terjadual dan disyaki bahan tersebut merupakan sisa sawit. Bagaimanapun, JAS perlu menunggu laporan analisa daripada Jabatan Kimia bagi mengetahui bahan sebenar yang dibuang di lokasi berkenaan untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI