PETALING JAYA – Pelbagai cadangan nama telah diberikan netizen kepada anak panda ketiga pasangan ‘giant panda’ Liang Liang dan Xing Xing.
Cadangan nama itu dibuat selepas Instagram Kosmo! Online memuat naik video kelahiran anak panda ketiga itu semalam.
Antara cadangan nama yang telah diberikan netizen adalah Min Min, Zing Zing, Xie Xie, Mei Mei, Ling Ling, Xi Xi, Zi Zi, Siang Siang, Bo Bo, Min Li, Jib, Jib, Je Min dan Tiang Tiang.
Selain itu, ada juga netizen turut mencadangkan nama anak panda ketiga itu dengan pandemik yang melanda negara ketika ini iaitu Covid-19, Corona, Covid, Pandemic serta Lockdown.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak Zoo Negara belum lagi menamakan anak panda tersebut dan difahamkan haiwan itu masih lagi dalam pemantauan pihaknya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Liang Liang selamat melahirkan seekor anak di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara, Isnin lalu.
Kelahiran itu merupakan kali ketiga bagi Liang Liang dan pasangannya Xing Xing sejak berada di Malaysia pada tahun 2014.
Anak pertama dan kedua iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi dilahirkan masing-masing pada 18 Ogos 2015 dan 14 Januari 2018.
Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima pasangan Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Sebelum ini, pihak Zoo Negara pernah mengadakan Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi diadakan pada tahun 2015 sebelum Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) memilih nama Nuan Nuan.
Nama anak panda pertama itu dicadangkan Oh Tiek Peng, guru Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak dan melayakkan dia membawa pulang hadiah utama sebuah Perodua Myvi.-K! ONLINE