PUTRAJAYA – Sebanyak 16 juta dos vaksin Covid-19 akan diterima dalam tempoh dua bulan akan datang sekali gus membantu mempercepatkan kadar pemberian vaksinasi harian negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka itu akan terus meningkat.
Beliau berkata, sehingga hari ini, kerajaan telah memberikan lebih tiga juta suntikan dos vaksin dengan lebih dua juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19 yang menjadikan kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.
“Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kita. Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain dan bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.
“Bagaimanapun hasil persediaan awal kerajaan, kita telah berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini,” katanya ketika berucap sempena 100 Hari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.
PICK mencapai hari ke-100 pada 3 Jun lalu selepas fasa pertamanya dimulakan 24 Februari lepas yang turut menyaksikan Muhyiddin menjadi orang pertama divaksin. -K! ONLINE