WASHINGTON, AMERIKA SYARIKAT – Malaysia, India, Korea Selatan dan Taiwan menjadi antara negara terawal dalam kumpulan pertama menerima dos vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Kyodo News kelmarin.
Langkah itu adalah sebahagian daripada program sumbangan 80 juta dos vaksin Covid-19 yang dilaksanakan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden dengan matlamat berkongsi vaksin dengan negara dunia lain menjelang hujung bulan ini.
“AS berkongsi vaksin ini bukan untuk mendapatkan sokongan atau membentuk sekutu.
“Sebaliknya, kami ingin menyelamatkan nyawa dan membawa dunia kepada pengakhiran pandemik Covid-19,” kata Biden.
Menurut White House, sebanyak 75 peratus atau 6 juta dos vaksin Covid-19 akan diedarkan kepada kumpulan pertama menerusi program perkongsian vaksin global yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikenali sebagai COVAX.
Keutamaan diberikan kepada negara rantau Amerika Selatan, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika.
Antara negara terlibat termasuk Malaysia, Bangladesh, India, Indonesia, Nepal, Filipina, Vietnam, Taiwan dan Thailand.
Selain itu, kira-kira enam juta dos vaksin itu akan disumbangkan kepada sekutu AS seperti Kanada, Mexico dan Korea Selatan di samping wilayah Gaza serta Tebing Barat di Palestin. Baki sebanyak 25 peratus lagi akan digunakan untuk menyokong keperluan kecemasan serta membantu dalam berdepan
peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.
Tiga jenis vaksin yang akan disumbangkan itu terdiri daripada Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson. – AGENSI