fbpx

Malaysia akan jalankan ujian klinikal vaksin Kangtai 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian klinikal bagi satu lagi jenis vaksin Covid-19 dikenali sebagai SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells) Inactivated yang dikilangkan oleh Shenzhen Kangtai Biological Products Co., Ltd. (Kangtai) di China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kajian klinikal vaksin itu telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 28 Mei lalu.

“Kajian klinikal fasa 3 vaksin ini akan dijalankan di lapan pusat penyelidikan di Malaysia dengan sasaran peserta sebanyak 3,000 orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.

“Ia (kajian) dijangka akan mengambil masa selama 15 hingga 19 bulan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, Malaysia adalah salah sebuah negara yang terlibat dalam kajian klinikal vaksin Kangtai selain Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

Noor Hisham berkata, vaksin itu juga telah diluluskan oleh negara China melalui Kelulusan Penggunaan secara Darurat pada 14 Mei lalu.

Menurutnya, kajian klinikal vaksin Covid-19 yang dijalankan di Malaysia dapat memberikan maklumat klinikal yang berkaitan dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin serta maklumat berkenaan kesesuaian vaksin kepada rakyat Malaysia.

“Ini adalah kelebihan yang diperlukan oleh kerajaan untuk memacu ke arah capaian  sasaran imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI