DUNIA bola sepak ketika ini mengalami evolusi yang terlalu pesat, gaya permainan berubah, penggunaan teknologi semakin berkembang, namun terus kekal menjadi sukan yang paling diminati di seluruh dunia.
Perkembangan tersebut memberi tempias positif kepada para pemain apabila nilai perpindahan mereka melonjak sementara pendapatan mereka juga lebih tinggi berbanding para pemain pada dekad sebelum ini.
Dek kerana tawaran gaji yang lumayan serta nilai pemain yang tinggi, kita hari ini sukar untuk melihat para pemain yang setia dengan satu kelab sepanjang karier.
Kalau dulu, anda boleh melihat pemain seperti Paolo Maldini, Francesco Totti, Ryan Giggs dan Paul Scholes memulakan karier dengan pasukan masing-masing dan mengakhirinya bersama pasukan tersebut.
Totti yang memulakan karier bersama AS Roma pada 1992 menghabiskan masa selama 25 tahun bersama kelab itu sebelum bersara pada 2017.
Begitu juga Maldini yang menghabiskan tempoh yang sama di San Siro.
Beberapa minggu lalu, penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma menjadi mangsa kecaman hebat oleh para peminat Rossoneri apabila dia enggan menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama pasukan itu.
Donnarumma yang memulakan karier profesional ketika berusia 16 tahun dianggap sebagai lupa daratan apabila membuat keputusan untuk mencari angin baharu di beberapa pasukan seperti Juventus, Manchester United, Chelsea dan Barcelona.
Maldini yang bertugas sebagai Pengarah Sukan Milan ketika ini mengesahkan bahawa pemain itu akan meninggalkan San Siro tetapi dalam masa yang sama menyelar pendapat bahawa pemain yang kekal bersama satu pasukan dianggap tidak profesional.
“Kadangkala orang menganggap untuk menjadi profesional, seseorang pemain perlu menukar kelab. Ia sukar untuk diterima tetapi dalam dunia bola sepak sekarang sukar untuk mencari pemain yang kekal dengan satu kelab sepanjang karier mereka,” kata Maldini.
Isu kesetiaan bukan sahaja di luar negara tetapi di Malaysia juga menjadi bahan perdebatan hangat tetapi hakikatnya tidaklah sukar untuk dinilai sepenuhnya.
Bagi mereka yang menganggap bola sepak sebagai satu kerjaya, ia juga boleh disamakan dengan pekerjaan-pekerjaan lain, misalnya seorang jurutera atau pun pakar teknologi maklumat.
Seandainya syarikat A menawarkan gaji yang lebih besar dan faedah lain yang lebih baik berbanding syarikat B, mengapa tidak untuk memilih suatu yang lebih menguntungkan.
Penulis mahu mengakhiri artikel ini dengan berkongsi kisah Graham Carter yang memulakan karier sebagai pemandu bas pasukan Liverpool pada 1977 sebelum dilantik sebagai kitman pasukan itu pada 1999 oleh Gerard Houllier.
Perlawanan terakhir musim ini ketika Liverpool menentang Crystal Palace di Anfield menjadi tugas terakhirnya bersama kelab itu selepas mengabdikan diri dan setia selama 44 tahun bersama The Reds.
Ia mungkin secebis kisah mengenai kesetiaan tetapi percayalah kesetiaan itu jika bukan hari ini, lambat-laun pasti akan ada yang akan memahami dan menghargai betapa nilainya adalah lebih daripada segala-galanya.