fbpx

Kecederaan sekat impian Barty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARTY berdepan masalah kecederaan kaki menyebabkan dia terpaksa menarik diri pada aksi Terbuka Perancis kali ini. – AFP

PARIS – Pemain pilihan utama, Ashleigh Barty mengakui dia sangat kecewa selepas terpaksa membuat keputusan menarik diri apabila dihimpit masalah kecederaan ketika bersaing di Terbuka Perancis kelmarin.

Bintang Australia tersebut yang meraih gelaran di Roland Garros pada 2019 terpaksa melupakan hasrat untuk meng­ulangi pencapaian terbaiknya itu sekali lagi apabila tidak mampu untuk menahan kesakitan pada set kedua ketika berdepan Magda Linette.

Pada perlawanan tersebut, Barty diasak hebat apabila tewas pada set pertama dan gagal untuk bangkit pada set kedua akibat kecederaan tersebut sebelum menarik diri dengan keputusan 1-6, 2-2.

Ini bukan kali pertama kece­deraan menghimpit Barty kerana pada pusingan pertama pemain Australia tersebut mengakui sudah merasai kesakitan, namun dia tetap berjaya mengatasi Bernarda Pera.

“Sudah pasti sangat kecewa dan pasti ia akan menjadi minggu yang sukar buat saya. Saya me­mulakan musim gelanggang ta­nah liat dengan luar biasa sebelum ke Paris.

“Saya sangat kecewa ia ber­akhir seperti ini. Saya tidak boleh melakukan apa-apa dan terpaksa menarik diri. Apa yang saya boleh katakan ia adalah kecede­raan yang tidak pernah saya alami sebelum ini,” katanya.

Pada terbuka Itali lalu, Barty turut membuat keputusan menarik diri ketika berdepan Coco Gauff pada aksi suku akhir apabila mengalami kecederaan belakang.

Bagaimanapun, mengakui pasukannya akan melakukan pemeriksaan menyeluruh untuk melihat kecederaan yang dialaminya dan berharap mampu kekal cergas semula untuk me­lakukan persiapan ke Wimbledon yang dijangka membuka tirai pada 28 Jun ini nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI