DIAM tidak diam, pandemik maut Covid-19 yang membadai dunia termasuk Malaysia semakin menjadi-jadi dan mengganas amukannya.
Setiap hari, angka kematian di negara ini mencatatkan bukan sahaja puluhan, malah sudah bermain dengan angka ratusan.
Kes harian juga melihatkan peningkatan mendadak sekali gus hampir melumpuhkan sistem kesihatan negara.
Waima sudah lebih setahun negara berjuang bermati-matian dengan pelbagai usaha dilakukan bagi memerangi pandemik paling digeruni ketika ini, ia tidak akan berhasil seandainya kesedaran masyarakat mengenai bahaya virus tersebut masih di takuk lama.
Perkara itu jelas dapat dilihat apabila masih ada masyarakat yang bersikap tidak jujur mengenai status kesihatan mereka yang terdedah atau menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
Buktinya, mereka merahsiakan perkara sebenar sekali gus menipu ketika hadir menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di seluruh hospital kendalian Kementerian Kesihatan (KKM).
Memetik laporan dan pendedahan yang dikongsikan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya, Dr. Khairul Nizam Hassan, tindakan sedemikian membawa impak buruk bukan saja kepada petugas kesihatan di ETD tetapi juga orang lain yang menerima rawatan.
“Sikap tidak jujur masih berlaku hingga kini dan tidak diketahui kenapa mereka bertindak demikian.
“Berikutan seseorang itu tidak berkata benar, kita merekod mereka sebagai tidak bergejala serta tiada kontak yang akan disalurkan ke satu tempat bersama-sama pesakit lain yang tiada kaitan langsung dengan Covid-19.
“Ini mendedahkan virus itu kepada orang lain terutama golongan lanjut usia dan berisiko, hanya disebabkan sikap mendiamkan dan memalsukan maklumat sebenar,” ujarnya.
Menurut Khairul Nizam yang juga pakar perubatan kecemasan, sejak hospital itu beroperasi sebagai hospital hibrid Covid-19 pada April lalu, terdapat peningkatan antara 40 hingga 60 peratus kemasukan pesakit jangkitan pernafasan akut teruk dan kes positif Covid-19 di ETD.
Justeru, beliau berharap dan merayu masyarakat agar dapat memahami peranan petugas kesihatan dengan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat semasa yang dikeluarkan kerajaan.
Senada dengan Khairul Nizam ialah Pakar Psikologi Khidmat Kaunseling Access, Dr. Meriam Omar Din yang berpendapat, sikap tidak jujur segelintir masyarakat merahsiakan maklumat kepada petugas kesihatan sebagai mementingkan diri sendiri.
Jelasnya, perkara tersebut tidak dinafikan memang berlaku disebabkan ketidakjujuran yang ditanam dalam diri tanpa memikirkan sebarang implikasi di kemudian hari.
“Dalam konteks ini, mereka langsung tiada rasa serba salah apatah lagi berdosa apabila dengan selambanya menipu atau merahsiakan maklumat berkaitan kesihatan.
“Apa yang bermain dalam fikiran mereka hanyalah semata-mata mahu mendapatkan rawatan secepat mungkin dan segera pulang,” katanya.
Tambah Meriam, implikasinya dapat dilihat apabila ada ahli keluarga atau kenalan rapat yang disahkan positif wabak itu dan paling malang, ia dibawa daripada segelintir golongan yang tidak berlaku jujur itu sendiri.