HARIMAU Malaya pernah mengalami kisah hitam yang lebih tragis ketika diaibkan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 0-10 bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi pada 2015.
Bagaimanapun, kekalahan 0-4 kepada UAE pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai awal pagi semalam tidak seteruk 2018, namun ia tetap tidak terlepas daripada dikecam hebat oleh penyokong-penyokong sukan nombor satu negara itu.
Boleh dikatakan hampir kesemua peminat bola sepak negara meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi tidak bermaya sebahagian pemain terutama dua naturalisasi baharu Harimau Malaya, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.
Tinjauan di laman sosial mendapati para netizen menghentam prestasi buruk dua pemain itu yang lebih banyak berjalan di atas padang selain menggambarkan kedua-duanya langsung tiada semangat kenegaraan selepas diberikan kerakyatan Malaysia.
Lebih malang, ada netizen yang sanggup menyunting gambar De Paula dengan harga RM2.76 untuk dilelong dalam salah satu portal e-dagang terkemuka negara.
Pengguna Facebook yang menggunakan nama MD Mizan berkata, ‘tukar nama kura-kura je la… kena luck (tuah) menang dengan arnab.’
Beberapa pengguna di laman Twitter juga meninggalkan rating 4.5 daripada 10 kepada Liridon dan De Paula dengan ada daripada mereka turut meminta agar kedua-dua pemain itu dilucutkan kerakyatan Malaysia.
Bukan itu sahaja, bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus juga tidak terlepas memberikan pandangannya tersendiri terhadap keberkesanan fungsi Liridon dan De Paula sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.
“Apa la striker (penyerang) kita polabear (De Paula), mana Liridon apa ko (kau) buat, mana lorongan-lorongan emas! Kalau dalam padang 5-7 pemain main bersungguh-sungguh, plsss show us that are capable to give everything in the field (tolong tunjukkan kemampuan untuk berikan segala-galanya di atas padang).
“Semoga mereka pamerkan aksi yang lebih bertenaga selepas ini. Jom semua doakan mereka berjaya, maaf kalau ada tersentuh,” katanya yang dipetik dalam status dimuat naik di Facebook peribadinya.
Seorang lagi bekas penyerang kebangsaan yang kini beraksi dengan Kuala Lumpur City FC, Safee Sali turut meluahkan kekecewaannya dalam laman Facebooknya.
“Boleh saya katakan, kita semua hanya terpedaya dengan skuad dan projek naturalisasi yang dibuat, membuatkan kita semua percaya dan meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Saya yakin para pemain tempatan kita jika diberi peluang dan kepercayaan, pasukan kita boleh menang dan bermain mati-matian untuk nama negara. Sekarang bukan masa untuk angkat bendera putih, masih ada peluang,” tulisnya.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan Liridon dan De Paula boleh menawan semula hati peminat jika dimainkan dalam posisi yang betul berpaksikan taktikal sesuai dengan kemampuan mereka untuk membantu Harimau Malaya menewaskan Vietnam dan Thailand minggu depan.