fbpx

Ciapan netizen disiasat mengikut Ordinan Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung satu ciapan yang dibuat olehnya di laman sosial Twitter.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Siasatan dan Perundangan Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya pada pukul 12.05 tengah malam oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman.

“Tangkapan dibuat hasil daripada maklumat laporan ‘profiling’ yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan pihak polis turut merampas satu unit telefon bimbit dan masing-masing sebuah router serta modem daripada suspek.

“Permohonan reman juga dibuat ke atas lelaki yang bekerja sebagai jurujual peralatan komputer itu dan telah dibenarkan ditahan selama satu hari,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azman, pada 29 Mei lalu, seorang pemilik akaun Twitter dengan nama Abah atau @ChairmanGLC telah membuat satu ciapan yang mengandungi kenyataan seperti berikut.

“Betul. MySejahtera tak dapat funding RM70 juta tu. MySejahtera and current portal are exclusive for the budget. The one yang dapat funding RM70 juta tu adalah team yang manage AstraXeneca. From the booking sampailah cucuk vaksin. Dan main con dia adalah..jeng jeng jeng.

“Ciapan tersebut telah mendapat sebanyak 4,707 ciap semula, 115 ‘quote tweets’ dan 3,783 tanda suka,” jelas beliau.

Mohd. Azman berkata, Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam atau kepada mana-mana golongan awam.

“Ini termasuklah mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan atau mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Tambah beliau, PDRM juga menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian,” tegas beliau.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI