PETALING JAYA – Perkongsian foto oleh selebriti terkenal Erra Fazira bersama anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 12, menarik perhatian peminat apabila mendakwa wajah kanak-kanak itu persis seperti ibunya ketika berlakon dalam filem Sembilu, kira-kira 30 tahun lalu.
Dalam hantaran tersebut, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 47, memuat naik fotonya bersama Aleesya ketika bersantai di rumah.
Wajah Aleesya yang polos tanpa mengenakan secalit solekan itu ternyata menarik perhatian peminat ibunya termasuk oleh pereka duo popular, Rizman Ruzaini.
“Tu Erra Fazira (merujuk pada Aleesya) waktu filem Sembilu dulu ke?” soal Rizman Ruzaini.
Usikan pereka fesyen itu ternyata mendapat persetujuan daripada netizen yang turut beranggapan bahawa wajah Aleesya persisi seperti ibunya ketika zaman muda.
“Rambut dia sama macam watak Wati (watak Erra) dalam filem Sembilu,” kata seorang pengguna Instagram.
Selain filem Sembilu, ada juga netizen menyamakan wajah Aleesya seperti ibunya ketika berlakon dalam filem Maria Mariana.
“Baru-baru ini tengok Maria Mariana. Sama betul muka Maria (watak Erra) dengan Engku Aleesya. Cuma kening dia ikut ayahnya,” kata salah seorang pengguna.
Menerusi hantaran tersebut, Erra sempat menyampaikan pesanan kepada orang ramai supaya mematuhi arahan ‘lockdown’ oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.
“Harap semua orang amalkan ‘lockdown’ sehabis baik. Moga kali ini kita beroleh kejayaan buat Malaysia dan selepas ‘lockdown’, wajib terus amalkan kendiri. Kalau tidak pusing-pusing benda yang sama,” ujarnya.
Dalam pada itu, selebriti yang digelar Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu turut menzahirkan pujian kepada pihak kerajaan kerana menyediakan vaksin untuk rakyat Malaysia.
“Kepada kerajaan, moga lebih aktif dan efisien dalam menyelenggara vaksin untuk rakyat. Terima kasih kerana memikirkan cara untuk membantu rakyat pada saat kritikal ini.
“Kepada segelintir rakyat, hentikan menuding jari. Kita jaga kita. Menuding dan menyalahkan tidak membantu untuk kita menjadi manusia positif yang menyumbang ke arah kebaikan,” jelasnya. K! ONLINE