JOHOR BAHRU – Seramai 133,000 warga emas akan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh negeri ini bermula Isnin ini.
Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan penerimaan vaksin, penerima dan ahli keluarga yang membawa warga emas itu dinasihatkan untuk tidak datang terlalu awal ke PPV berkenaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pengurusan, Datuk Mohd. Noh Ibrahim berkata, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan berlaku kesesakan trafik menuju ke pusat tersebut.
Katanya, penerima vaksin dinasihatkan hadir ke PPV mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan bagi memudahkan semua pihak bagi proses pendaftaran dan pemberian vaksin.
“Bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memandu arah penerima ke lokasi yang dituju.
“Sebahagian jalan di sekitar PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini akan ditutup. Kita juga menyediakan tempat meletakkan kenderaan bersebelahan Persada serta kawasan berhampiran.
“Seperti tempat lain, kita benarkan seorang sahaja meneman warga emas ke PPV. Kita juga ada menugaskan sukarelawan untuk membantu mereka-mereka ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini. -K! ONLINE