SEBERANG PERAI – Seramai 10 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan dalam serbuan di sebuah kondominium di Butterworth di sini malam tadi.
Ops Pintas kira-kira pukul 8.50 malam itu membabitkan dua pegawai dan 13 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, wanita berusia di antara 31 hingga 36 tahun berkenaan adalah warga Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Beliau berkata, pada serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk kondom, jeli pelincir, tisu, telefon bimbit dan sebuah kereta.
Menurutnya, dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan itu turut ditahan bagi siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau, manakala salah seorang daripadanya dikehendaki bagi satu kes penipuan di Kuala Lumpur.
“Kegiatan itu didapati beroperasi sejak kira-kira setahun lalu dengan menjadikan hotel-hotel sebagai transit.
Beliau berkata, operasi sindiket berkenaan bagaimanapun terganggu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun lalu sehingga memaksa mereka berpindah ke kondominium.
“Usaha mencari dalangnya sedang dilakukan kerana individu yang ditangkap hanyalah penjaga dan penghantar makanan kepada mangsa,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – K! ONLINE