PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melakukan persiapan awal agar operasi bekalan elektrik di lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega yang bakal dibuka di Lembah Klang pada Isnin ini berjalan lancar.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pihaknya telah mengatur beberapa persediaan termasuk melibatkan semakan dan pemantauan untuk memastikan sistem bekalan di lokasi berkenaan berada dalam keadaan teratur dan berdaya harap.
“Kerja menaik taraf turut sedang dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan dan kawalan bekalan dibuat secara jarak jauh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin telah mengumumkan pembukaan lima PPV mega bermula 7 Jun ini iaitu di Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Pusat Konvensyen Setia City, pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut Wan Nazmy, TNB mendapat kerjasama dan sokongan baik daripada Kementerian Kesihatan di samping pihak pengurusan 382 PPV sedia ada dalam usaha memastikan bekalan elektrik kepada PPV teratur sepanjang program imunisasi dijalankan.
Beliau berkata, menjadi keutamaan TNB untuk memulihkan bekalan elektrik melibatkan PPV serta 40 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) jika berlaku sebarang masalah melibatkan gangguan bekalan elektrik.
“Kami juga sentiasa menyemak status bekalan di PPV dan PSV supaya langkah segera dapat diambil bagi mengelakkan gangguan terjadi.
“Alhamdulillah, sejak pelaksanaan PICK pada 24 Februari, insiden gangguan bekalan di PPV dan PSV amat minimum serta dapat dipulihkan dengan pantas,” ujarnya. – K! ONLINE