fbpx

Tiada istilah ‘bulan madu’ – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUN HAQEEM

MASIH tergolong dalam kelompok artis junior, bakat lakonan pemilik nama pentas, Hun Haqeem bagaimanapun tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kian menyinar, Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berpegang prinsip, enggan hanyut dengan populariti dan pujian yang diraihnya hari ini.

Baginya, meskipun baru tiga tahun bertapak dalam industri hiburan, itu bukanlah alasan untuknya terus berada dalam tempoh ‘bulan madu’.

Tutur pelakon drama Angkara Cinta itu, konsep dan prinsip tersebut juga perlu dimiliki setiap pelakon yang baru berkelana dalam dunia lakonan tanah air.

JEJAKA yang terkenal dengan watak Jekfer itu menyangkal dakwaan ramai yang mengatakan dia kini menjalin hubungan cinta dengan pelakon Wanna Ali.

Tuan punya badan

Ditanya tentang isu pelakon baharu digelar ‘kayu’ kerana lakonan kaku yang hangat diperkatakan baru-baru ini, Hun menganggap perkara tersebut sesuatu yang normal tetapi inisiatif untuk memperbaiki diri harus hadir daripada tuan punya badan.

“Mendengar semua luahan dan kritikan ramai, saya turut bersetuju dengan pandangan umum. Mereka (pelakon kayu) memang wujud dalam industri hiburan.

“Bagi saya yang juga pernah melalui fasa tersebut, pelakon baharu perlu ada inisiatif untuk memperbaiki mutu lakonan. Jangan biar diri terus dikecam. Bakat dan usaha harus seiring,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bukan berniat mahu menunjuk pandai, namun dia cuma tidak sanggup melihat bakat-bakat baharu diperlekehkan seperti itu lagi.

Tutur aktor drama Seindah Tujuh Warna Pelangi itu lagi, pelakon juga seharusnya menyampaikan lakonan dari jiwa dan bukan berlandaskan pembacaan skrip semata-mata.

“Pengarah sudah bayar dan beri skrip yang baik, tetapi jika gagal menjiwai watak dengan cemerlang, jadi masalah siapa sebenarnya?

“Situasi ini seperti kita membeli barang secara online. Beli lain tetapi item yang diterima berbeza daripada yang dijanjikan. Elakkan jadi seperti itu.

“Sebagai pelakon baru juga jangan berhenti mengutip ilmu daripada pelakon senior. Isu ini nampak mudah tetapi sukar sebenarnya nak puaskan hati semua orang,” ujarnya.

Biarpun tidak berpeluang untuk menyertai mana-mana kelas lakonan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hun mengambil inisiatif sendiri dengan menonton pelbagai jenis drama dan filem sepanjang berada di rumah.

“Itu antara cara saya menambah ilmu di dada. Dengar seperti kurang berusaha tetapi secara dasarnya, banyak yang saya pelajari seperti teknik lakonan dan cara penyampaian emosi daripada drama serta filem antarabangsa,” tuturnya yang sangat mengagumi kehebatan drama Korea Selatan, Vincenzo.

HUN bakal kembali menjalani penggambaran untuk drama siri terkenal Kampung People musim ketiga tidak lama lagi.

Malaysia perlu lebih berani

Tertarik dengan minatnya terhadap naskhah Vincenzo, Hun mendefinisikan karya lakonan Song Joong-ki dalam siri berkenaan sebagai sesuatu yang mengagumkan.

Memasang impian untuk berlakon dalam karya sebegitu, Hun berharap industri perfileman tanah air lebih berani tampil dengan idea yang lebih luar kotak.

“Jika luar negara boleh lakukan, mengapa Malaysia tidak boleh? Belum cuba, belum tahu impaknya bagaimana.

“Malaysia juga pernah memiliki karya-karya hebat tetapi tidak banyak kerana kita kerap dihidangkan dengan genre dan jalan cerita yang sama. Lama-lama penonton juga bosan,” ujarnya bersemangat.

Dalam pada itu, Hun turut memuji usaha beberapa syarikat produksi dan stesen televisyen tanah air yang kian berani mengetengahkan isu sensitif dalam karya berbentuk telefilem

“Sejak kebelakangan ini, saya sempat menonton beberapa telefilem, mereka semakin berani menjadikan isu penunggang agama sebagai subjek utama. Jalan cerita seperti itu yang harus dipersembahkan lebih banyak kepada penonton,” katanya.

ENGGAN menjadi aktor yang tamak, Hun terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan bagi memastikan kualiti lakonannya tidak terjejas.

Bercerita tentang perkembangan kerjaya, pelakon berusia 23 tahun itu memberitahu banyak tawaran lakonan terpaksa ditolaknya kerana jadual kerja yang terlampau padat.

Keputusan tersebut terpaksa dilakukan oleh pelakon yang terkenal dengan watak Jekfer dalam drama Kampung People itu demi menjaga momentum prestasi.

“Saya tak mahu jadi pelakon yang tamak dengan menerima semua tawaran kerana mahu buktikan diri hebat walhal tidak pun.

“Buat apa terima semua sehingga badan dan mental letih seterusnya beri kesan terhadap penyampaian dalam drama. Semua itu akan memberi impak terhadap karier saya dan menyusahkan pihak produksi.

“Saya hanya manusia biasa yang punya rasa penat, namun jika ada tawaran yang boleh diselit dalam jadual, saya akan ambil juga,” katanya yang bakal kembali menjalani penggambaran Kampung People musim ketiga tidak lama lagi.

PELAKON kacak ini menasihatkan agar barisan pelakon baharu mempunyai inisiatif untuk memperbaiki mutu lakonan, sekali gus menepis gelaran ‘kayu’ sebagaimana skeptikal orang ramai. – Foto MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Wanna hanya rakan sekerja

Sempat mengusik tentang gosip cintanya bersama aktres Wanna Ali baru-baru ini, Hun memberitahu status hubungan mereka hanyalah sebagai rakan sekerja.

Kemesraan yang dipaparkan dalam media sosial sebelum ini tidak lebih daripada seorang kawan selepas digandingkan sebagai hero dan heroin dalam drama Angkara Cinta.

“Ramai nampak kami seperti bercinta sedangkan realitinya hubungan kami tidak lebih daripada seorang kawan.

“Kami berjaya mewujudkan satu bentuk keserasian dalam lakonan. Walaupun baru pertama kali bekerja bersama, hasilnya sangat memuaskan hati. Dia pelakon yang bagus,” tuturnya.

Meskipun digosipkan bercinta, Hun tidak akan menolak sekiranya digandingkan sekali lagi bersama anak kepada penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh itu.

“Sangat selesa bekerja dengan Wanna dan jika diberi peluang untuk digandingkan lagi, saya teruja terima apa sahaja lamaran,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI