PETALING JAYA – Kisah seorang remaja yang dimasukkan ke wad psikiatri selepas mengambil ubat secara berlebihan kerana mengikut saranan seorang individu di aplikasi TikTok tular di media sosial semalam.
Pakar psikiatri dan pensyarah, Dr. Rozanizam Zakaria dalam perkongsian di laman Facebook dan Twitter beliau berkata, apabila ditanya, remaja itu mengatakan dia mendapat idea itu daripada aplikasi sosial TikTok.
“Menurut individu di laman TikTok itu, kalau mahu cepat jumpa doktor psikiatri perlu guna cara tersebut.
“Alhamdulillah tiada apa-apa yang serius. Bayangkan jika orang yang rapuh mengikuti nasihat itu dan sesuatu yang buruk berlaku,” tulisnya melalui perkongsian berkenaan.
Perkongsian itu mendapat lebih 500 tanda suka dan dikongsi lebih 140 kali.
Rozanizam berkata, insiden seumpama itu menjadi sebab mengapa semua pihak perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu kesihatan mental di media sosial.
Tambahnya, anasir negatif yang mempengaruhi cara berfikir remaja dikongsi secara meluas di media sosial dan ia dikhuatiri menjadi normalisasi budaya yang tidak sihat dalam mengendalikan tekanan.
“Mereka yang berkongsi di TikTok tersebut masih hidup seperti biasa tetapi yang menderita orang lain,” ulasnya. – K! ONLINE