MELAKA – Kedegilan pemilik sebuah pusat urut refleksologi beroperasi menggunakan pintu masuk belakang premis, khas untuk pelanggan setia membawa padah apabila dikompaun RM10,000 oleh pihak polis, di Taman Melaka Raya, di sini, semalam.
Dalam serbuan pada pukul 3.10 petang itu, turut dikenakan kompaun RM2,000 adalah penjaga premis, manakala tiga pekerja wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil risikan, serbuan Op Pemantauan Prosedur Operasi Standard itu telah dilakukan sepasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Katanya, pemeriksaan di dalam bangunan tersebut telah menjumpai dua lelaki iaitu pemilik dan penjaga premis berkenaan masing-masing berusia 48 dan 53 tahun, serta tiga pekerja wanita.
“Hasil soal siasat, pemilik premis berasal dari Taiping, Perak itu mengakui telah beroperasi secara berselindung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membuka pintu masuk di bahagian belakang bangunan khas untuk pelanggan setia dan yang membuat tempahan melalui telefon.
“Bagi kesalahan itu, kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 terhadapnya, manakala penjaga premis RM2,000,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, kedua-dua kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
Tambahnya, pemilik tersebut juga memberikan alasan membuka operasi perniagaan berkenaaan demi kelangsungan perniagaan dan pendapatan pekerjanya.
Ujarnya, turut dirampas adalah buku catitan rekod pekerja dan pasport antarabangsa kesemua wanita terbabit.
Mengulas lanjut, Mohd. Sukri berkata, ketika serbuan dilakukan, ketiga-tiga pekerja wanita sedang berehat dengan ada yang berbaringan di dalam sebuah bilik dipercayai menunggu pelanggan untuk datang.
“Semakan dokumen perjalanan mendapati dua pekerja wanita merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi dari Laos.
“Kesemua mereka turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan dibawah Seksyen 55B/15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE