PETALING JAYA – Sebuah premis di sekitar Bangsar yang menjual minuman keras semata-mata diarah tutup di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Kita telah menerima maklumat dari seorang pengadu yang mengatakan sebuah premis perniagaan menjual minuman keras dan telah mendapat surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diluluskan untuk peruncitan makanan dan minuman.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati, ia hanya menjual minuman keras semata-mata yang dianggap sebagai bukan barangan keperluan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis juga telah mengambil tindakan dengan memberi nasihat dan mengarahkan premis tersebut ditutup.
“Ekoran daripada itu, pihak premis telah akur dan mengambil tindakan menutup premis berkenaan seperti yang telah diarahkan.
“Semua peniaga diingatkan agar tidak menyalahgunakan surat kelulusan daripada MITI dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, pengurusan premis telah memuat naik satu hantaran di media sosial untuk memaklumkan penutupan premis selepas anggota polis dari Balai Polis Pantai melakukan pemeriksaan pada pukul 3.30 petang semalam. – K! ONLINE