GUA MUSANG – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan di kawasan luar bandar di Kelantan terutamanya di daerah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.
Ini dapat dilihat apabila seramai 300 hingga 400 orang penduduk luar bandar yang hadir ke dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini untuk menerima suntikan vaksin setiap hari.
Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Mohamad Rafiq Mohd. Kasri berkata, setakat semalam, seramai 4,000 individu telah menerima vaksin bagi daerah ini.
Katanya, ia membabitkan di dua PPV iaitu di Pusat Latihan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan di Dewan Felda Chiku 5 di sini.
“Kebanyakan daripada mereka terutamanya warga emas hadir janji temu di dua lokasi iaitu untuk menerima vaksin.
“Mereka yang gagal hadir untuk menerima vaksin kerana masalah kesihatan akan digantikan dengan orang lain mengikut senarai yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV di Pusat Latihan Kesedar di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.
Sementara itu, Mohd. Syahbuddin pula berkata, pihaknya membantu Kementerian Kesihatan (KMM) bagi melancarkan proses pendaftaran pemberian vaksin.
Katanya, melalui Pusat Khidmat ADUN Galas, beliau mengadakan kempen pendaftaran suntikan melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar.
“Selain membantu mendaftar nama penduduk, kami juga menyediakan pengangkutan kepada mereka yang tidak mempunyai kenderaan di kawasan Galas untuk ke PPV.
“Kami berharap lebih ramai penduduk mendaftar vaksin dan membantu negara mencapai imuniti kelompok,” katanya. – K! ONLINE