PUTRAJAYA – Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan produk produk Ravida® Tablet 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg) untuk merawat jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV).
Kelulusan pendaftaran bersyarat itu dibuat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam mesyuarat kali ke-358 hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat produk Ravida® itu memerlukan pemegang pendaftaran produk untuk mengemukakan data tambahan dan terkini dari semasa ke semasa.
Menurutnya, ia untuk memastikan keberkesanan dan keselamatannya diperbaharui dan perbandingan manfaat-risiko bagi produk itu sentiasa positif.
“Ravida® digunakan secara kombinasi dengan ubat lain untuk merawat jangkitan HCV dalam kalangan orang dewasa.
“Produk ini dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang mana Pharmaniaga Manufacturing Berhad adalah pemegang pendaftaran produk tersebut di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan HCV menjelang tahun 2030.
Bgaimanapun, katanya, kos pengesanan dan rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) pada masa ini memerlukan kos yang tinggi.
“Oleh itu, terdapat keperluan untuk mencari penyelesaian alternatif dalam mendapatkan rawatan berkesan dengan kos lebih berpatutan.
“Pelan Strategik Nasional bagi Hepatitis B dan C 2019-2023 telah dibangunkan oleh KKM untuk merangka hala tuju yang jelas dan memastikan matlamat menghapuskan hepatitis B dan C dapat dicapai,” katanya. -K! ONLINE