BRUSSELS – Penggempur Inter Milan, Romelu Lukaku menamatkan spekulasi mengenai masa depannya selepas mengakui mahu terus kekal bersama pasukannya itu.
Penyerang utama Belgium itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan penyerang terbaik Eropah selepas aksi cemerlangnya bersama Inter menyerbabkan dia terpalit dengan spekulasi perpindahan ketika Chelsea dan Manchester City menunjukkan minat.
Lukaku mengakui dia sudah bercakap dengan Simone Inzaghi yang akan mengemudi pasukan itu bermula musim depan dan membuat keputusan untuk kekal di San Siro.
“Ya, saya akan kekal di Inter. Saya sudah berhubung dengan jurulatih baharu, kami menikmati perbualan yang sangat positif. Saya rasa lebih baik untuk kekal di Inter dan menyahut cabaran untuk mengekalkan kejuaraan Serie A,” katanya.
Dalam pada itu, Lukaku mengakui sangat terkilan apabila jurulatihnya, Antonio Conte meletakkan jawatan di Inter bulan lalu selepas membantu pasukan itu memenangi kejuaraan Scudetto.
“Apa yang saya nikmati ketika ini adalah hasil bantuan beliau. Kritikan yang diberikan sentiasa membantu saya dan tidak membuatkan saya berasa kecil hati atau kecewa, sebaliknya meningkatkan semangat untuk memberikan yang terbaik.
“Apabila saya mendengar mengenai keputusannya untuk meninggalkan pasukan ini, saya dan para pemain lain sangat sukar menerimanya. Kami adalah sekumpulan pemain yang sangat dahagakan kejayaan tetapi kehilangannya menyebabkan semangat itu seakan terhenti,” jelasnya.
Lukaku berjaya menjaringkan 64 gol dalam 95 aksi bersama Inter selepas berhijrah dari Old Trafford. – AGENSI