TEMERLOH – Polis telah mengeluarkan 17 kompaun bernilai RM25,500 dalam tempoh enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, kompaun yang dikeluarkan antara 28 Mei hingga 2 Jun itu melibatkan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam kawasan PKPD.
“Seramai 11 orang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka manakala seramai enam orang lagi dikenakan kompaun kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan berada di dalam rumah dengan mengehadkan pergerakan luar jika tiada urusan penting,”katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, PKPD Mukim Perak dan Mukim Bangau di sini yang dilaksanakan bermula 28 Mei hingga 10 Jun depan melibatkan kira-kira 68,700 orang penduduk.
Katanya, dalam memastikan kawalan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan baik pihak polis telah membuka tujuh Sekatan Jalan Raya (SJR) selain menambah pasukan pemantau polis.
“Sehingga kini pelaksanaan PKPD di kawasan ini berjalan lancar yang mana petugas SJR diarah melakukan pemeriksaan yang ketat terhadap kebenaran pergerakan kenderaan yang masuk.
“Setakat ini tahap pematuhan orang ramai adalah sebanyak 97 peratus namun masih terdapat segelintir penduduk yang masih berdegil terutama golongan remaja yang merayau-rayau di dalam kawasan taman perumahan tanpa tujuan,”katanya.
Sementara itu, beliau berkata pada masa ini pihak polis telah mengenalpasti 12 laluan tikus ke kawasan Mukim Perak dan Mukim Bangau yang dilaksanakan PKPD itu.
Ujarnya, sebanyak sembilan jalan tikus telah dipasang penghadang konkrit dan kawat duri manakala tiga laluan lagi yang baru dikenalpasti akan dilakukan penutupan segera. – K! ONLINE