PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan untuk memberi sebanyak 200,000 dos vaksin sehari kepada penerima berdaftar menjelang 31 Julai depan susulan kejayaan memvaksinasi 100,000 orang sehari secara purata sejak 27 Mei lalu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga akan membuka 74 pusat pemberian vaksin (PPV) tambahan mulai esok yang merangkumi PPV mega, awam dan PPV AstraZeneca di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Dalam tempoh 100 hari, negara telah meningkatkan kapasiti dan menggembleng tenaga yang ada untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dipercepatkan walaupun harus bersaing dengan negara-negara maju untuk mendapatkan vaksin,” katanya menerusi lembaran fakta 100 hari PICK hari ini.
PICK mencapai hari ke-100 hari ini selepas fasa pertama program pelalian terbesar negara itu dimulakan pada 24 Februari lalu yang turut menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama divaksin.
MOSTI berkata, pada hari ke-100, dengan jumlah kes yang semakin meningkat, pihak kerajaan terus berusaha gigih untuk memastikan sebanyak orang dapat divaksinasikan secepat mungkin.
Katanya, pada masa sama, kerajaan juga berusaha untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang awam semasa proses vaksinasi terutamanya untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di lebih 280 PPV yang sedang beroperasi setakat ini terjamin. – K! ONLINE