PENULIS ada pengalaman berdepan dengan seorang kenalan yang mempunyai masalah Anxiety atau rasa cemas dan ketakutan yang melampau pada sesuatu.
Bayangkan pada pukul 2 pagi, rakan penulis menelefon dalam keadaan menangis gara-gara bimbang dirinya mungkin dijangkiti Covid-19.
Semuanya berpunca kerana ketakutan rakan penulis itu ekoran peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
Pada waktu itu, penulis hanya mendengar sahaja apa yang diluahkan rakan dan hanya mampu menasihatinya supaya bertenang.
Bila keadaan berlarutan selama beberapa hari, penulis mula berasa rimas dan akhirnya menganggap bahawa rakan penulis terlalu mengada-ngada dan over. Sehinggakan, penulis memarahinya tanpa memikirkan situasi sebenar yang berlaku.
Ternyata, tindakan penulis adalah salah. Anxiety bukan suatu perkara yang boleh dianggap remeh, jika dibiarkan berlarutan tanpa rawatan daripada pakar.
Menurut Pakar Psikologi Universiti SEGi Kota Damansara, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor, masalah Anxiety atau kecelaruan kebimbangan bukanlah penyakit yang dibuat-buat atau mengada-ngada yang dicipta seseorang untuk mendapatkan perhatian.
Menurut Mariani, kebimbangan yang terjadi adalah berpunca daripada tindak balas badan seseorang terhadap stres.
“Perkara tersebut membawa kepada perasaan takut dan bimbang terhadap perkara buruk yang akan terjadi pada masa akan datang.
“Jika mereka tidak mempunyai sokongan daripada keluarga atau orang di sekeliling dalam masa tertentu, mereka akan menggigil dan tindak balas ini akan menyebabkan pemikiran mereka mencipta reaksi semula jadi pada badan (menggigil) kerana takut sehingga boleh menyebabkan sesak nafas,” katanya.
Katanya lagi, mereka yang tidak mempunyai masalah Anxiety sering beranggapan bahawa individu tersebut mengada-ngada. Namun hakikatnya, orang sebegini sangat memerlukan perhatian kerana sampai satu tahap kritikal, individu terbabit boleh mencederakan diri sendiri.
“Apa yang saya boleh katakan Anxiety adalah salah satu masalah kesihatan mental yang terjejas.
“Kesihatan mental terjejas ada beberapa kategori seperti kebimbangan, kerisauan, runsing dan stres,” katanya.
Dari segi perubatan, individu yang mempunyai masalah Anxiety memang memerlukan rawatan terapi kerana masalah tersebut boleh menjejaskan rutin harian mereka.
“Penghidap Anxiety memerlukan sokongan moral dan ketenangan dalam diri mereka. Apa yang saya boleh sarankan adalah, mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan semasa. Jangan dibawa pada masa lampau atau masa depan.
“Minta mereka kawal diri apa yang dia boleh buat. Sebagai orang Islam, amalkan berwuduk dan solat. Doa kepada Allah itu adalah kaedah terapi rohani yang terbaik,” katanya.
Masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan mereka untuk menjadi pendengar yang baik dan aktif.
Dalam masa sama, minta individu yang mengalami Anxiety untuk menggunakan kelima-lima deria yang dikurniakan.
“Dengar, lihat, bau, sentuh dan rasa dengan perkara yang baik-baik. Itu adalah antara terapi menggunakan deria.
“Pesakit boleh sembuh dengan rawatan yang konsisten dan memerlukan waktu,” katanya.