PETALING JAYA – DOC2US melancarkan perkhidmatan ePharmacy untuk memudahkan akses orang ramai mendapatkan ubat dalam masa dua jam sahaja di kawasan Lembah Klang.
Perkhidmatan tersebut telah dijayakan bersama rakan penghantaran, pandago dan Lalamove.
Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US, Dr. Raymond Choy berkata, melihat kepada pandemik Covid-19 yang semakin serius, syarikat melihat perlunya dibangunkan satu perkhidmatan kesihatan profesional yang mudah diakses oleh orang ramai.
“Sehubungan itu, kami menawarkan konsultasi talian profesional untuk penyakit ringan seperti selesema, batuk, jangkitan salur pernafasan atas, jangkitan telinga, asma, ruam kulit, masalah e-preskripsi dan penghantaran ubat yang diperlukan ke rumah.
“Semuanya dilakukan dengan mudah dan pengguna tidak perlu meninggalkan rumah mereka ketika mereka rasa tidak sihat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
DOC2US adalah penyedia teleperubatan preskripsi elektronik (e-preskripsi) pertama dan satu- satunya di negara yang mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Syarikat menyediakan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan perubatan jarak jauh yang berskala dan lancar untuk pengguna, pesakit, pelanggan korporat, penyedia perkhidmatan kesihatan serta perkhidmatan kesihatan lain seperti klinik dan farmasi.
Selain itu, melalui ePharmacy, pengguna akan bertemu dengan doktor secara digital dan jika diperlukan, e-preskripsi akan diisi seterusnya diberi oleh rangkaian farmasi, Alpro Pharmacy. Kemudian, ubat itu akan dihantar dalam masa dua jam ke rumah pelanggan di Lembah Klang.
Tambah beliau, pihaknya berkeyakinan akan dapat membantu masyarakat khususnya yang berusia lebih 65 tahun dan memerlukan ubat jangka panjang bagi penyakit seperti kolesterol, darah tinggi dan diabetes.
“Ini kerana melalui ePharmacy, ia dapat mengurangkan mereka mengunjungi tempat berisiko tinggi seperti hospital, klinik dan farmasi atau bergantung pada anak-anak atau cucu membelikan ubat bagi pihak mereka,” ujarnya.
Lebih menarik, ePharmacy boleh dilakukan melalui sembang teks, nota suara dan panggilan di Facebook Messenger untuk membantu mereka memastikan preskripsi mereka diisi dan dihantar dengan selamat.
Sehingga kini, terdapat lebih 6,300 pesakit telah menggunakan ePharmacy DOC2US.