SEBERANG PERAI – Dapur sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Perusahaan Auto City, Perai di sini dilaporkan dijilat api hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran itu membabitkan sebuah restoran berkeluasan kira-kira 139 meter persegi dengan bahagian atasnya adalah hotel.
“Siasatan mendapati, kebakaran berlaku di bahagian bilik dapur yang dianggarkan berkeluasan 22 meter persegi.
“Peratusan kemusnahan adalah dianggarkan sebanyak 40 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dikawal pada pukul 9.12 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya kira-kira enam minit kemudian. – K! ONLINE