PETALING JAYA – Tidak bertindak membuta-tuli memperkecilkan bakat lakonan pelakon baharu sekarang yang kebanyakannya lahir daripada populariti media sosial, aktres berkaliber, Nabila Huda muncul dengan idea memberi ‘kelas’ lakonan secara percuma kepada individu terbabit.
Nabila atau mesra disapa sebagai Abil bagaimanapun memaklumkan, dia bukan cikgu atau pensyarah tapi akan berkongsi ilmu termasuk yang asas bagaimana untuk jadi seorang pelakon yang bagus.
“Saya cuma nak jelaskan pada semua orang, ini bukan kelas lakonan tau. Saya tak ajar berlakon kerana saya bukan cikgu atau pensyarah.
“Bagaimanapun, saya akan kongsi ilmu asas bagaimana nak jadi seorang pelakon yang bagus. Saya akan kongsi benda yang saya buat atau yang telah saya belajar dari ‘zero’ sampai tahap sekarang,” ujar pemilik nama lengkap, Nabila Huda Suhaimi itu.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu juga berhasrat bukan sahaja ingin menurunkan ilmu kepada golongan pensohor media sosial, bahkan terbuka kepada individu lain yang tiada asas namun mempunyai minat tinggi ingin menceburkan diri dalam bidang lakonan.
“Saya cari orang yang baru (berjinak-jinak), yang ada ‘basic’ sebab kalau tak pernah berlakon, saya takut anda tak faham apa yang saya kongsi.
“Tapi jangan risau, saya tengan susun ‘group by group’ (kumpulan demi kumpulan). Mana tahu kalau ada rezeki mereka yang ada impian nak jadi pelakon gunakan platfrom yang dari saya,” katanya lagi yang meminta mereka yang berminat segera menghantar direct messaging (DM) dalam Instagram.
Terdahulu, Abil memuat naik ciapan menerusi Twitter memaklumkan yang dia sanggup berkongsi ilmu tentang bagaimana untuk menjadi pelakon yang bagus buat semua ‘instafamous’, ‘influencer’ dan para pelakon baharu secara percuma. – K! ONLINE