KLANG – Sebanyak 25 tan kubis bulat dari China dirampas selepas dipercayai mempunyai serangga perosak jenis Plutella xylotella Linn di Pelabuhan Barat, semalam.
Kubis dianggarkan bernilai RM18,874.93 dirampas pukul 4 petang hasil pemeriksaan Jabatan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, pemeriksaan pada kubis itu dipercayai terdapat lebih daripada seekor serangga perosak berkenaan yang diimport oleh sebuah syarikat tempatan.
Difahamkan, serangga tersebut memakan epidermis bahagian bawah daun terutama pada kubis muda dan boleh merosakkan tanaman kepada petani atau pekebun sekiranya dibiarkan memasuki negara ini.
“Kesemua kubis tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan ini merupakan kesalahan pertama melibatkan syarikat tersebut.
“Beberapa sampel telah diambil dan dan kesemua barangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] .
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE