PUTRAJAYA – Projek rintis Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 (RTK-AG) oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dijangka memberi manfaat kepada seramai 103,500 penduduk di 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkhidmatan RTK-AG secara percuma itu adalah langkah kawalan dan pencegahan susulan peningkatan kes-kes aktif Covid-19 di Kuala Lumpur ketika ini.
Beliau berkata, program saringan itu dilaksanakan dalam dua fasa di mana fasa pertama melibatkan 50,000 orang daripada 15 PA dan PPR DBKL terpilih.
“Empat lokasi awal adalah PA Seri Sabah 3A, PA Seri Sabah 3B, PA Seri Pulau Pinang dan PA Seri Kota.
“Pada peringkat awal, saringan ini dikendalikan oleh satu pasukan di setiap PA dan PPR dengan kapasiti 200 hingga 300 orang disaring sehari.
“Pelaksanaannya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan dikawal selia pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, beliau menyasarkan pelaksanaan saringan itu akan meliputi 27 PPR dan PA DBKL menjelang hujung bulan hadapan.
Annuar berkata, saringan itu juga dibuat secara percuma kepada komuniti Kampung Sungai Penchala memandangkan kawasan itu mempunyai bilangan warga emas yang agak ramai.
“Usaha yang dijalankan ini penting bagi pengesanan awal kes positif Covid-19 sekali gus mengekang penularan wabak ini,” katanya.
Katanya, pelaksanaan program itu adalah antara tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 (IWC) 5.0 untuk kemudahan serta mengurangkan beban warga Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya B40 dan miskin bandar. – K! ONLINE