HANOI – Vietnam meminta rakyatnya mendermakan wang yang boleh digunakan untuk membeli, mengimport, melakukan penyelidikan dan menghasilkan vaksin Covid-19, lapor portal berita Sky News semalam.
Negara itu kini dilanda wabak koronavirus terbesar setakat ini dengan 60 peratus jangkitan direkodkan sejak sebulan lalu.
Pemerintah telah menghantar mesej teks kepada orang ramai untuk meminta sumbangan kewangan bagi memenuhi dana khas program vaksinasi negara.
Dana itu memerlukan wang sebanyak £777 juta (RM4.4 bilion). Permintaan tersebut dibuat selepas Rusia bersetuju membekalkan 20 juta dos vaksin Sputnik V kepada Vietnam pada tahun ini.
“Vietnam sedang cuba mendapatkan akses kepada sumber vaksin Covid-19 untuk mempercepatkan program vaksinasinya seberapa awal yang boleh,” kata Menteri Kesihatan, Nguyen Thanh Long dalam satu kenyataan.
Vietnam meluluskan vaksin Rusia itu pada Mac lalu tetapi cuba mendapatkan vaksin itu secepat mungkin selepas berdepan wabak terbesar setakat ini.
Presiden Nguyen Xuan Phuc telah menghantar sepucuk surat kepada rakan sejawatnya di Rusia, Vladimir Putin untuk meminta bantuan dalam menghadapi koronavirus selepas membuat permintaan serupa kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Media Vietnam melaporkan pada bulan lalu bahawa sebuah pusat penyelidikan di bawah kementerian kesihatan sedang dalam perbincangan untuk menghasilkan vaksin Sputnik V di dalam negara.
Thanh Long berkata, syarikat milik pemerintah, Vabiotech akan mula membungkuskan vaksin Rusia itu bermula Julai ini dengan kapasiti bulanan sebanyak lima juta dos.
Katanya, Vietnam semakin hampir mencapai sasaran untuk membeli 150 juta dos vaksin tahun ini untuk memberikan pelalian kepada 75 peratus daripada 98 juta penduduknya.
Negara komunis itu menerima penghantaran hampir 2.9 juta dos vaksin Covid-19 setakat ini dengan kebanyakannya vaksin AstraZeneca, manakala kira-kira satu juta suntikan pelalian telah diberikan. – Agensi