PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus komited dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula pada Selasa lalu.
TNB menerusi satu kenyataan berkata, mereka akan menyokong secara terus usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negara ini.
“Sepanjang PKP 3.0 ini, banyak langkah yang telah dan sedang diambil oleh pihak kami bagi memastikan kesemua stesen janakuasa kami dapat beroperasi dengan lebih baik.
“Selain penjanaan, para pekerja kami akan kekal bertugas bagi memastikan semua pengguna dapat menggunakan perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil di kawasan masing-masing,” kata kenyataan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, hampir separuh daripada 35,000 pekerja TNB akan melakukan kerja mereka dengan gigih dalam memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan yang terbaik.
“TNB akan pastikan seramai 9.5 juta pengguna mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kami termasuk pekerja teknikal di bahagian grid serta pembahagian yang melibatkan pekerja kami dalam melaksanakan kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan.
“Malahan, pembacaan meter TNB juga berjalan seperti biasa sepanjang PKP pada kali ini dan bagi aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan sehingga akhir bulan ini.
“Untuk memudahkan para pengguna domestik menjelaskan pembayaran bil elektrik mereka, Pelan Bayaran Mudah telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
“Pihak kerajaan juga telah mengumumkan pelanjutan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus kepada beberapa sektor yang terpilih selama tiga bulan bermula Julai sehingga September tahun ini,” jelas beliau dalam kenyataan tersebut.
TNB amat menggalakkan para penggunanya untuk menggunakan perkhidmatan online seperti laman web rasmi dan aplikasi myTNB jika mempunyai urusan dengan TNB sepanjang PKP 3.0 ini. – K! ONLINE