fbpx

Tanah adat Orang Asli: Saman Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan dibatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan saman yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung pertikaian melibatkan isu tanah adat masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lau Bee Lan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kerajaan pimpinan Pas selaku perayu untuk membatalkan saman tersebut.

Hakim Bee Lan yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd. Soffian Abdul Razak berpuas hati bahawa Kerajaan Persekutuan tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk bertindak sebagai plaintif ketika membawa kes itu ke mahkamah.

Bagaimanapun, panel tersebut berpendapat, suku kaum itu boleh mengambil tindakan undang-undang bagi pihak mereka, bukan melalui pihak kerajaan.

Dengan keputusan itu, mahkamah turut membenarkan rayuan lima syarikat swasta untuk membatalkan saman berkenaan.

Syarikat-syarikat itu ialah Fleet Precision Sdn. Bhd., Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd., KPG Maju Enterprise Sdn. Bhd., Ringgit Saksama (M) Sdn. Bhd. dan M7 Plantation Bhd. yang dinamakan sebagai defendan-defendan dalam tuntutan saman itu.

Rayuan itu dibenarkan tanpa kos dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Dengan keputusan itu, kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak permohonan perayu.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan mempunyai satu lagi peluang untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan diwakili oleh peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan G. Ragumaren.

Sementara itu, Khoo Guan Huat, Nik Habri Muhammad dan Joshua Teng mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian negeri serta Jabatan Perhutanan negeri.

Pada 20 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan ia mempunyai bidang kuasa mendengar pertikaian di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana ia melibatkan lima buah syarikat swasta.

Kerajaan Persekutuan mengemukakan saman itu selaras dengan kewajipannya dari segi perlembagaan dan fidusiari bagi melindungi kebajikan masyarakat Orang Asli yang telah membantah pencerobohan ke atas tanah adat mereka.

Dalam penyataan tuntutan, Kerajaan Persekutuan mendakwa Kerajaan Negeri Kelantan telah mengeluarkan lesen kepada beberapa syarikat swasta bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti komersial seperti pembalakan dan pembersihan tanah untuk menanam pokok getah dan durian di tanah adat Orang Asli suku Temiar.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kerajaan Persekutuan mendakwa tindakan itu merampas sumber dan tanah adat Orang Asli Temiar serta menyebabkan hakisan, pencemaran dan kerosakan besar terhadap ekologi dan lanskap Pos Simpor.

Pada Januari 2019, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dilaporkan sebagai berkata buat pertama kalinya sejak negara merdeka, Kerajaan Persekutuan memulakan tindakan perundangan bagi pihak masyarakat Orang Asli untuk memelihara hak mereka di sisi perlembagaan dan perundangan dalam usaha melindungi serta mendorong kesejahteraan dan kemajuan mereka.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI