BRASILIA, Brazil – Percubaan seorang pelawak di Brazil untuk meniru aksi adiwira Superman bertukar tragedi apabila dia dilanggar bas dan terpelanting di atas jalan, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Luiz Ribeiro de Andrade yang menggelarkan dirinya Superman, dilanggar oleh sebuah bas di kawasan perbandaran Barra dos Coqueiros ketika cuba menghentikan bas yang bergerak menggunakan tangannya baru-baru ini.
Andrade, 35, mengenakan sut klasik Superman berwarna merah dan biru ketika merakam dirinya melakukan aksi seperti watak hero komik DC itu.
Rakaman tersebut memaparkan dia berjalan ke tengah jalan dengan penuh keyakinan sambil memegang mikrofon ketika sebuah bas menuju ke arahnya.
Situasi bertukar buruk dengan pantas apabila bas tersebut tidak sempat berhenti lalu melanggar Andrade. Dia tercampak di hadapan kenderaan itu.
Pelawak itu bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius, malah masih boleh bangun dan menyambung rakaman videonya.
“Sekarang baru saya tahu bahawa saya benar-benar lelaki besi,” katanya dalam nada berseloroh ketika ditemu bual oleh stesen televisyen F5 News.
Tambah Andrade, dia sebenarnya tersilap percaturan apabila melintas di hadapan bas lebih awal daripada dirancang.
Rancangan asal sepatutnya akan menampakkan seperti dia menahan kenderaan awam itu dengan tangan apabila ia berhenti.
Dia juga mengatakan bahawa ‘tangan Tuhan’ telah menyelamatkannya daripada cedera parah dalam aksi itu, sambil menambah dia bernasib baik kerana tidak merasakan apa-apa ketika terpelanting di tengah jalan. – Agensi