MANCHESTER – Manchester United dilaporkan kembali menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain buruan mereka sejak musim lalu dari Atletico Madrid, Saul Niguez.
Selepas meraikan kejayaan menjulang gelaran La Liga bersama Atletico, Saul mengakui sudah bersedia untuk mencari cabaran baharu.
Kenyataan Saul itu bukan saya menggembirakan United tetapi Juventus juga dilaporkan turut memantau perkembangannya.
Musim ini menyaksikan Saul gagal mendapat minit perlawanan yang banyak bersama Atletico apabila sekadar membuat 22 penampilan La Liga dan perkara itu membuatkannya kecewa sehingga bersedia untuk berkelana mencari kelab baharu.
Pemain tengah itu mempunyai klausa pelepasan bernilai £129 juta (RM753.49 juta) tetapi kali ini dia mungkin boleh dibeli pada harga £43 juta (RM251.16 juta) sahaja.
Spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan beberapa pasukan termasuk United membuatkan dirinya teruja dan sedia membuat pertimbangan mengenai sebarang tawaran.
“Saya gembira dikaitkan dengan kelab seperti United dan pasukan lain. Ia menyebabkan saya perlu membuat pertimbangan dan ia suatu yang positif.
“Beberapa individu penting di United seperti Rio Ferdinand bercakap mengenai perkara baik tentang saya dan itu bermakna saya telah memberikan suatu yang sempurna bersama Atletico,” jelasnya. – AGENSI