fbpx

Penjual ayam bakar tidak mengaku bersalah sogok ASP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nizam dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan bersubahat menyogok ASP sebanyak RM120,000. - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang peniaga ayam bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan bersubahat memberikan wang suapan RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada rakannya yang memiliki dadah, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Nizam Mohamed Lazim, 36, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu telah bersubahat dengan rakan lelakinya berusia 39 untuk memberikan suapan RM120,000 kepada seorang Asisten Superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang kepada rakannya yang memiliki dadah jenis Syabu yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan Mohd. Nizam yang turut bekerja sambilan sebagai juruteknik penghawa dingin di sebuah stesen minyak di Jalan Mahogani pada pukul 9 malam, 24 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin ekoran keseriusan kes dan hukuman boleh dikenakan kepada tertuduh selain syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memohon jaminan dikurangkan susulan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarganya selain perlu menjaga dua anak saudaranya yang telah kematian ibu bapa serta mempunyai pendapatan tidak tetap antara RM5,000 hingga RM6,000.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan 12 Julai depan.

Kosmo! pada 26 Mei lalu melaporkan tindakan kurang bijak seorang juruteknik penghawa dingin yang cuba menyogok pegawai kanan polis dengan wang tunai RM120,000 membawa padah apabila ditahan di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, dekat sini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI