GEORGE TOWN – Kira-kira 800 peniaga pasar malam di Pulau Pinang terpaksa gulung tikar berikutan tidak sanggup berdepan dengan kekangan kewangan yang teruk ekoran peningkatan kes penularan pandemik Covid-19.
Lebih memeritkan lagi apabila sebilangan besar daripada mereka kini terpaksa beralih bidang pekerjaan sebagai pekerja buruh, nelayan serta penghantar surat dan makanan.
Bukan itu sahaja, mereka juga dikatakan telah melelong kelengkapan perniagaan termasuk khemah, meja dan peralatan memasak menerusi iklan di aplikasi grup WhatsApp peniaga dan perkhidmatan e-dagang percuma.
Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Awang berkata, sebahagian peniaga pasar malam yang berdaftar telah mengambil keputusan menghentikan operasi perniagaan disebabkan tidak sanggup lagi berdepan dengan bebanan hutang.
Menurutnya, banyak rungutan diterima sejak awal tahun lalu sehingga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.
“Kebanyakan mereka yang berdepan masalah kewangan disebabkan tidak boleh beroperasi, kini mula beralih arah dengan menjadi buruh dan nelayan pantai. Ada juga yang bekerja sebagai pemandu lori, penghantar surat dan makanan.
“Mereka bertindak sedemikian demi meneruskan kelangsungan hidup termasuk melangsaikan hutang bagi pembelian rumah, kereta dan pinjaman peribadi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut berhubung Bantuan Khas PKP 3.0 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, beliau memberitahu, pihaknya berlapang dada dengan pengumuman beberapa bantuan kepada rakyat terutama untuk golongan B40.
“Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tambahan RM500 sangat diharapkan peniaga yang terjejas seperti kami untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk lanjutan moratorium.
“Namun jumlah yang diberikan itu adalah untuk jangka masa pendek. Paling dibimbangkan ketika ini sekiranya PKP penuh dilanjutkan lagi nanti, kami langsung tidak boleh berniaga,” jelasnya.