fbpx

Pegawai komunikasi korporat didakwa lagi rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Mohd.Hakimi Mohd. Badrol, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM32,000 tujuh tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sebelum ini pernah didakwa atas pertuduhan rasuah, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan sama berjumlah RM32,000 berhubung bayaran beberapa baucar bayaran tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd.Hakimi Mohd. Badrol Afandi, 44, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga empat, tertuduh yang merupakan Penolong Pengarah (N41) di Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Gombak, telah secara rasuah memperoleh wang tunai RM32,000 daripada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Wang rasuah itu sebagai dorongan kerana tertuduh membantu memudahkan urusan tiga buah syarikat mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar bayaran di universiti itu antaranya ‘The Modification Works IIUM Gallery and Official Launching By IIUM President’ dan ‘Printing Packages of IIUM Corperate Colleteral (Executive Diaries, Notebook and Planner) 2015.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Maybank Jalan Gombak, di Jalan Meranti Taman Setapak di sini antara 13 November 2014 hingga 30 Mac 2015.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan  boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu tertuduh juga turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan sama yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alif Shaharuzaman memohon mahkamah menggunapakai jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang sebelum ini telah ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas tertuduh didakwa pada 27 Mei lalu.

“Saya juga memohon agar kesemua kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi tertuduh di sana kerana kes hari ini melibatkan transaksi sama,” kata Mohd. Aliff.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar pernohonan pihak pendakwaan itu, hakim Emelia Kaswati membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 29 Jun ini bagi sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 27 Mei lalu, Kosmo! Online melaporkan Mohd. Hakimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam memperoleh rasuah wang tunai sebanyak RM5,000 membabitkan kesalahan sama.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI