BARCELONA – Bintang Barcelona, Lionel Messi semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan dua tahun dengan pasukan itu yang mungkin menyaksikan beliau menamatkan karier gemilangnya bersama gergasi Sepanyol tersebut.
Messi yang akan genap usia 34 tahun pada 24 Jun ini, dilaporkan cuma menunggu beberapa perincian perkara dipersetujui pihak pengurusan The Catalan sebelum memeterai perjanjian dalam kontrak baharunya itu.
Kehadiran teman rapat Messi yang juga rakan senegaranya di Argentina, Sergio Aguero antara salah satu faktor utama meyakinkan pemenang enam Ballon d’Or itu terus menetapkan masa depannya di Camp Nou.
Presiden Barcelona, Joan Laporta mendedahkan pihaknya sudah tidak sabar untuk mengumumkan berita gembira itu sebaik sahaja kapten skuad antarabangsa Argentina tersebut bersetuju dengan terma-terma kontrak baharu.
“Lanjutan kontrak Messi tidak bergantung kepada laporan audit. Kami mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan rundingan antara kedua-dua pihak berjalan lancar.
“Wang bukan perkara utama bagi pihak Leo (Messi). Dia telah menunjukkan tanda-tanda mahu kekal di sini dan kami sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan ia dapat direalisasikan.
“Semakin cepat urusan selesai, semakin bagus buat kami untuk membina semula pasukan sekali gus menjernihkan hubungan yang tercalar sebelum ini,” katanya.
Laporta berkata demikian sewaktu memperkenalkan pemain pertahanan baharu, Eric Garcia yang diperoleh secara percuma daripada Manchester City dengan kontrak sehingga 1 Julai 2026. – AGENSI