PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan penurunan kualiti perkhidmatan kurier yang ketara bagi tempoh penghujung 2019 sehingga 2020.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebahagian besar atau 86 peratus aduan pengguna yang diterima ialah layanan buruk selain kelewatan penghantaran serta kehilangan barang.
“Purata tempoh penghantaran meningkat daripada 2.1 hari kepada 4.6 hari. Tambah mengejutkan, kadar keuntungan syarikat-syarikat kurier telah merosot walaupun penghantaran bertambah.
“Keadaan ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat dan memerlukan satu anjakan yang menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar secara maya prestasi pos dan kurier di sini hari ini.
Saifuddin berkata, bagi memastikan industri kurier memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna, pelan tindakan Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) diperkenalkan.
Menurutnya, NPCIL amat penting bagi pelaksanaan pelan pembangunan ekonomi digital yang berdasarkan kepada pencapaian empat matlamat yang diringkaskan sebagai 4R iaitu reliability (boleh dipercayai), reach (liputan), relevance (relevan) dan resilient (daya tahan).
Matlamat 4R itu, kata Saifuddin akan menyumbang kepada aspirasi nasional industri kurier iaitu menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna, memperkemaskan integrasi sistem penyampaian hiliran dan memberikan pengalaman pengguna yang memuaskan.
“Pelaksanaan pelan tindakan ini yang diberi nama Pelan Accelerator Kurier Negara akan melihat beberapa perkara antaranya pengenalan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan bebas
“Selain itu ialah perkongsian aset antara syarikat kurier, rombakan syarat lesen operasi, kenderaan penghantaran yang lebih ekonomi, pemakluman dan pematuhan kepada piagam tempoh penghantaran serta penawaran insuran dan mengadakan perkhidmatan premium,” katanya. – K! ONLINE