JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor bersetuju untuk menyumbangkan tiga bulan gaji mereka ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor.
Sumbangan itu melibatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sumbangan bermula Jun hingga Ogos itu akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan kerajaan negeri melawan pandemik Covid-19.
Katanya, sejak tabung itu ditubuhkan tahun lalu, sebanyak RM44.83 juta sumbangan telah diterima daripada pelbagai pihak.
“Bagi menambah dana dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam, saya mengajak semua wakil rakyat Johor menyumbang sebahagian daripada elaun diterima ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor untuk membantu rakyat.
“Saya juga menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk menyumbang ke dalam tabung berkenaan bagi membantu dan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak yang memerlukan,” ujarnya.
Langkah itu sama seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Mei lalu bahawa barisan Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun.
Selain Johor, beberapa pentadbiran kerajaan negeri lain turut mengambil inisiatif sama termasuklah Perak.
Menurut Hasni lagi, sejak tabung tersebut diwujudkan, sejumlah RM41.65 juta sumbangan sudah digunakan untuk manfaat rakyat di seluruh negeri.
Dalam masa sama, Hasni turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melindungi satu sama lain bagi membolehkan kita menang dalam perperangan melawan wabak ini,” ujarnya.-K! ONLINE