PETALING JAYA – Polis mengesahkan klip video yang tular di laman sosial Facebook ‘Kepong Community’ sejak Rabu lalu sebagai palsu.
Terdahulu, klip video berdurasi 35 saat itu mendakwa sesiapa yang keluar rumah selepas pukul 6 petang akan ditangkap, kecuali mereka yang mempunyai urusan di klinik, hospital atau urusan kecemasan.
Dakwa klip video itu lagi, mereka yang keluar rumah selepas pukul 6 petang untuk membeli makanan akan ditangkap atas arahan Ketua Polis Negara.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, amaran dalam klip video tersebut adalah palsu.
“Orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli makanan dan keperluan asas pada waktu kedai-kedai tersebut beroperasi sehingga pukul 8 malam.
“Ia sebagaimana termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertarikh 1 Jun lalu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan kertas siasatan juga telah dibuka.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sebarang berita palsu atau fakta yang belum disahkan sahih dengan pihak berkuasa.
“Sesiapa yang berniat menularkan berita tidak benar berkaitan Covid-19 untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam adalah melakukan sesuatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. – K! ONLINE