fbpx

Kita berhak penat, tetapi jangan malas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JIKA ada yang menganggap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya kali ini, satu tempoh untuk bermalas-malasan, anda silap.

Memandangkan, kita juga hidup dalam norma baharu, pembetulan! Sebenarnya sudah bukan lagi baharu kerana sudah lebih setahun cuba berselindung di sebalik sekeping pelitup muka bagi mengelak Covid-19 berterbangan.

Kita juga sudah biasa terkurung dengan pelbagai fasa PKP termasuklah pemulihan, bersyarat atau diperketatkan.

Jadi datanglah lagi PKP jenis apa pun, kita semua sudah lali dengan peraturan sepanjang tempoh tersebut.

Jadi, jangan pula ada antara kita yang malas untuk ambil tahu. Malas membaca atau malas peduli.

Jika malas yang menjadi alasan, jangan kata hendak sama-sama membantu memutuskan rantaian pandemik dalam negara, hendak menyelamatkan keluarga dan diri pun belum tentu selamat.

Bayangkan setelah lebih 450 hari (sekitar setahun tiga bulan) sejak PKP pertama dilaksanakan, sudah berbuih-buih asas new normal disarankan, berjejeran ‘pagar-pagar’ kawalan pergerakan ‘dipacakkan’ di sana-sini, tetapi masih ramai berdegil dan langgar peraturan.

Kita malas dan persetankan peraturan yang natijahnya, bukan sahaja keluarga, bahkan orang dalam radius kehidupan sehari-hari jadi mangsa.

Puncanya, ada antara kita yang masih rasa terhindar, bahkan terlepas daripada serangan virus ‘halimunan’ itu.

Agaknya peraturan PKP ini sama dengan peraturan sedia ada, macam jangan langgar lampu isyarat atau jangan lupa pakai tali pinggang keledar. Mungkin!

Jika begitulah, turunlah segala jenis vaksin dari langit pun, mandilah pakai cecair pembasmi kuman sekali pun, hukumlah dengan sebanyak mana pun kompaun, selagi belum kena batang hidung sendiri atau seorang daripada ahli keluarga terdekat mati akibat Covid-19, rantaian yang mahu sekeras-keras dihalang ‘pembiakannya’ itu akan terus beranak-pinak ‘sampai abang Jamil’ mampus.

Maaflah jika penyataan-penyataan berbaur emosi tanpa statistik kes atau tragedi realiti yang menangkap perhatian kali ini memualkan ramai kerana kita semua sedang mual dengan situasi memenatkan ini, tetapi inilah jalan kehidupan sejak setahun lalu, bahkan mungkin bertahun akan datang yang bakal kita lewati.

Tak perlu kompang pasal perjuangan besar-besar. Sebaliknya, tanyakan diri, kita boleh penat, tetapi jangan malas! Kita lelah dan lemas, janganlah malas.

Kita terlepas pada saat melakukan kesalahan kali pertama, janganlah culas untuk akur lagi dan lagi.

Masuk semula dalam ‘kurungan’ PKP yang sedap disebut total lockdown kali ini. Apakah kita serik atau masih malas dan buat tak peduli? Terserahlah. Kalau tak berkesan, kita PKPlah lagi.

Sedarlah, dalam zaman Covid-19 ini, kita sudah tidak perlu jadi pencuri atau pembunuh untuk digelar penjenayah.

Cukup sekadar mendedahkan anak-anak kecil sendiri terhadap penyakit paling dibenci ini pun, sudah ada cadangan agar ibu bapa dikenakan hukuman. Jaga-jaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI