SIAPA tidak takut dengan ancaman pandemik berbahaya Covid-19, virus yang boleh membunuh dan musuh yang tidak kelihatan dengan mata kasar.
Peperangan kita belum berakhir, namun kita belum kalah.
Pelbagai langkah atau inisiatif telah diambil kerajaan dalam menyediakan ‘senjata’ peperangan menghadapi ancaman musuh yang tidak kelihatan.
Antaranya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown melibatkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara yang bermula kelmarin hingga 14 Jun ini.
Menurut Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh, pelaksanaan PKP penuh kali ini diharapkan mampu untuk mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti yang semakin membimbangkan.
“Kalau semua orang dengar kata, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kes memang akan boleh turun.
“Virus ini tunggu hos, bila tiada hos, maka virus itu akan mati. Pelaksanaan PKP penuh sekali lagi akan mengurangkan pergerakan orang ramai sekali gus dapat mengekang penyebaran Covid-19 dalam komuniti,” katanya ketika dihubungi.
Kuljit menjelaskan, antara strategi lain kerajaan yang dilihat dapat membantu mengurangkan kes adalah dengan pemberian segera vaksin kepada rakyat.
“Vaksin dapat melindungi kita daripada dijangkiti, memang tidak 100 peratus, tetapi dapat mengurangkan jangkitan menjadi lebih teruk.
“Apabila semakin ramai sudah divaksin, virus itu juga semakin sukar untuk disebarkan atau menjangkiti orang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, orang ramai diharapkan untuk terus bersabar dan kuatkan mental serta fizikal untuk menghadapi PKP sekali lagi.
Beliau sedar bahawa ramai orang sudah penat terutamanya petugas barisan hadapan, namun perjuangan masih panjang dan perlu diteruskan dalam usaha memerangi Covid-19.
“Ini adalah pengorbanan yang harus kita lakukan sebagai rakyat demi memastikan nyawa setiap orang selamat.
“Jangan kita alpa serta leka, belajar daripada kesilapan lalu dan terus pandang ke hadapan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Orang ramai juga jangan mudah percaya berita palsu serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi menguatkan kesihatan mental dan fizikal,” katanya.