PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan M40 sebaliknya pelbagai insentif dan bantuan disediakan kepada kumpulan itu menerusi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua golongan rakyat sentiasa diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Beliau berkata, jika diperhatikan, bermula daripada Belanjawan 2021, seterusnya pakej bantuan PERMAI, PEMERKASA sehinggalah kepada PEMERKASA Tambahan, pelbagai bantuan telah disalurkan kepada golongan M40.
“Antaranya, program subsidi upah, moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman, penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak sebanyak satu peratus dan Sistem Insuran Pekerjaan Prihatin.
“Benarkah bantuan kerajaan hanya ditumpukan kepada golongan B40 manakala golongan M40 sentiasa diabaikan? Tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-55, hari ini.- K! ONLINE