AMPANG – Seorang ibu bersama teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memukul anak kandung wanita itu yang berusia empat tahun sehingga menyebabkan lebam di bahagian muka dan anggota badan.
Wanita berusia 27 tahun dan kekasihnya berusia 39 tahun itu meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.
Tertuduh seorang suri rumah dan lelaki itu yang bekerja sebagai kontraktor didakwa memukul kanak-kanak perempuan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Kabus, Ampang di sini pada pukul 10 malam, 18 Mac lalu.
Mereka didakwa tidak menghantar mangsa yang mengalami kecederaan untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum
RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan atas alasan kes tersebut adalah kes yang
serius dan mangsa adalah kanak-kanak.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Erickka Farrise Amir memohon jaminan yang minimum untuk kedua-kedua tertuduh.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan dilarang berhubung dengan mangsa serta pengadu.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes. – K!ONlLINE